Salam.. semoga dalam rahmat Allah
Ilham dari Allah untuk aku menulis coretan ini.
Solat berjamaah di Masjid yang kian terpinggir dari amalan
manusia. “Tidak aku jadikan Jin dan Manusia untuk beribadah kepada Aku”. Semua
orang tahu akan Firman Allah ini. Dan ibadat yang menjadi tiang kepada agama
ialah Solat. Banyak orang bersolat, namun tidak berjamaah.
Kita boleh lihat himpunan umat Islam ketika mana hari
Jumaat. Lepas itu masjid akan kembali sepi hinggalah jumaat berikutnya. Bersolat jumaat kalau boleh dibuat di rumah nescaya tidak penuh masjid.
Aku berpesan pada diri sendiri dan seluruh teman2 bersolatlah dan lebih afdal
berjamaah. Semoga peringatan ini member manfaat kepada diri aku dan teman2
untuk sama2 saling ingat memperingati. Kerana semua muslim itu bersaudara.
Jika dengar seruan azan jengahlah ke masjid. Tiada salah
kita menghentikan seketika kesibukan dunia untuk bertemu yang maha Esa.
Begitulah sepatutnya kita menghormati keagungan pencipta kita seharusnya kan.
Namun nak mencari masjid yang makmum bersolat jamaah separuh ruang masjid pun susah
sungguh. Orang perempuan mungkin tak tahu sangat perkara ini, tetapi yang
lelaki boleh rasai kekurangan ini jika anda ke masjid untuk berjamaah. Ruang
masjid penuh sesak untuk solat jumaat, tetapi lopong betul apabila solat fardhu
yang lain. Suatu masjid (tak perlu aku namakan) sangat besar. Aku sangat kagum
dengan binaannya. Dilengkapi dengan penghawa dingin dan sistem audio visual
yang menambahkan lagi kenikmatan bersolat di masjid ini. Bila masuk masjid ini
pasti diri akan terasa kerdil sekali kerana jarak untuk ke saf paling hadapan
yang terlalu jauh. Menapak ke saf hadapan pun terasa lama untuk sampai. Namun masjid yang sebegitu besar bilamana hari jumaat saja akan penuh dengan makmum. Dasyat betul, dari mana datangnya
orang. Heee.. tetapi teman2 bila solat fardhu Maghrib & Isyak hanya 65
orang. Itupun termasuk dengan jemaah musafir yang singgah sembahyang. Jika tidak
lagi kurang lah jawabnya.
Aku pun sama dengan teman2 semua. Kadang2 baru ke masjid
bersolat jamaah. Kenapa kita jadi begini?. Jika berterusan begini bagaimana
agaknya syiar Islam dapat berkembang. Nyata orang tak gentar dengan umat Islam
sekarang. Tiada jamaah bermakna sudah pasti tiada kekuatan. Mudah jika hendak
diperkotak katikkan. Mari kita lihat kelebihan solat secara berjamaah.
Sembahyang fardhu lima waktu adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Orang yang meninggalkan sembahyang maka telah robohlah satu daripada rukun Islam daripada dirinya. Sembahyang fardhu itu sebaik-baiknya hendaklah dikerjakan dengan berjamaah. Bagi mereka yang mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjamaah mendapat kelebihan yang amat besar.
Di antara kelebihan-kelebihan mengerjakan sembahyang fardhu dengan
berjamaah ialah:
Pertama.
Sesiapa yang dapat bersama imam pada takbir pertama selama 40 hari
dia terlepas daripada api neraka dan dari menjadi orang munafik
Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ
يَوْمًا فِى جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُولَى كُتِبَتْ لَهُ
بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ. قَالَ أَبُو
عِيسـَى وَقَدْ رُوِىَ هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ أَنَسٍ مَوْقُوفًا وَلاَ أَعْلَمُ
أَحَدًا رَفَعَهُ إِلاَّ مَا رَوَى سَلْمُ بْنُ قُتَيْبَةَ عَنْ طُعْمَةَ بْنِ
عَمْرٍو عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِى ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ. (سنن الترمذى، الصلاة)
Bermaksud: Sesiapa yang sembahyang kerana Allah selama 40
hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu
dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang
munafik.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa orang yang
dapat berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama hingga akhir sembahyang
selama 40 hari dilakukan semata-mata kerana Allah dia terselamat daripada dua
perkara iaitu terselamat daripada neraka dan terselamat daripada menjadi
munafik. Dengan itu marilah kita berusaha untuk mendapatkan kelebihan ini.
Kedua.
Banyak langkah menuju ke masjid untuk berjama`ah
menghapuskan dosa dan meninggikan darjat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو
اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ. قَالُوا بَلَى يَا
رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ «إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ
الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ
فَذَلِكُمُ الرِّبَاط». (صحيح مسلم، الطهارة)
Bermaksud: Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah
menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, “Ya, wahai
Rasulullah”, sabda Baginda: “Banyak langkah ke masjid dan menunggu
satu sembahyang selepas satu sembahyang. Itu adalah ikatan”.
Hadis ini menunjukkan kepada kelebihan banyak langkah ke masjid
dan kelebihan menunggu satu sembahyang setelah menunaikan satu sembahyang, dan
sekali gus menunjukkan kelebihan sembahyang berjemaah. Dalam nas yang lain
Baginda menegah sahabat yang hendak berpindah ketempat yang berhampiran dengan
masjid dengan meninggalkan tempat kediaman yang lama.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ
قَالَ خَلَتِ الْبِقَاعُ حَوْلَ الْمَسْجِدِ فَأَرَادَ بَنُو سَلِمَةَ أَنْ
يَنْتَقِلُوا إِلَى قُرْبِ الْمَسْجِدِ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ - صلى
الله عليه وسلم - فَقَالَ لَهُمْ «إِنَّهُ بَلَغَنِى أَنَّكُمْ تُرِيدُونَ أَنْ
تَنْتَقِلُوا قُرْبَ الْمَسْجِدِ». قَالُوا نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ
أَرَدْنَا ذَلِكَ. فَقَالَ «يَا بَنِى سَلِمَةَ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ
دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ». (صحيح البخارى، المساجد)
Bermaksud: Daripada Jabir bin Abd Allah katanya: Kawasan
di sekeliling masjid telah lapang, oleh itu Banu Salamah hendak berpindah ke
kawasan yang berhampiran dengan masjid, maka perkara ini sampai kepada
Rasulullah s.a.w. maka sabdanya:
Bahawasanya sampai kepadaku berita bahawa kamu hendak berpindah ke
kawasan yang hampir masjid. Mereka menjawab, “Ya, wahai Rasulullah, kami hendak
demikian”. Jawab Baginda:“Wahai Bani Salamah! Rumah kamu, (jangan pindah)
kesan-kesan tapak kaki kamu (ke masjid) ditulis, rumah kamu (jangan pindah),
kesan-kesan tapak kaki kamu ke masjid ditulis”.
Hadis ini menunjukkan kelebihan pergi ke masjid untuk sembahyang
berjemaah, di mana setiap langkah adalah mendapat pahala dari Allah s.w.t.
Ketiga.
Orang yang keluar dari rumahnya untuk menunaikan sembahyang
berjamaah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan haji.
Sabda rasulullah s.a.w.
مَنْ
خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًا إِلَى صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ
الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ وَمَنْ خَرَجَ إِلَى تَسْبِيحِ الضُّحَى لاَ يُنْصِبُهُ
إِلاَّ إِيَّاهُ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْمُعْتَمِرِ وَصَلاَةٌ عَلَى أَثَرِ
صَلاَةٍ لاَ لَغْوَ بَيْنَهُمَا كِتَابٌ فِى عِلِّيِّينَ. (سنن أبى داود، الصلاة)
Bermaksud: Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan
bersuci menuju kepada sembahyang fardhu maka pahalanya seperti pahala orang
haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih
al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu
sembahyang selepas satu sembahyang, tiada melakukan perkara sia-sia di antara
kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.
Keempat.
Orang yang sembahyang berjamaah Allah ampunkan dosanya.
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ
الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ
النَّاسِ أَوْ مَع
الْجَمَاعَةِ أَوْ فِى الْمَسْجِدِ
غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ. )صحيح مسلم، الطهارة)
Bermaksud: Sesiapa yang berwuduk untuk
mengerjakan sembahyang lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke
masjid untuk sembahyang fardhu kemudian dia pun bersembahyang berserta dengan
orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya
dosa-dosanya.
Maksud dosa-dosa di sini adalah dosa kecil kerana dosa besar
memerlukan kepada taubat atau keampunan dari Allah.
Kelima.
Orang yang sentiasa sembahyang berjamaah di masjid mendapat
perlindungan daripada Allah s.w.t. pada Hari Kiamat.
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِى
ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ الإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ
فِى عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِى الْمَسَاجِدِ،
وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ،
وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّى أَخَافُ
اللَّهَ. وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ
يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ. (صحيح لبخاري،
الأذان)
Bermaksud: Tujuh golongan manusia yang mendapat
perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dari-Nya,
iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada
Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid,
dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun kerana-Nya dan berpisah
kerana-Nya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai
kedudukan dan jelita (untuk melakukan maksiat) lalu dia berkata: “Aku takutkan
Allah”, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui
tangan kirinya apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang
mengingati Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.
Orang yang hatinya sentiasa teringat kepada masjid ialah orang
yang menunaikan sembahyang berjemaah setiap waktu. Apabila dia keluar dari
masjid hatinya sentiasa ingat akan datang semula ke masjid untuk menunaikan
jemaah fardhu yang berikutnya. Orang ini akan mendapat perlindungan dari Allah
di akhirat nanti di mana di waktu itu tiada perlindungan kecuali hanya
perlindungan dari-Nya sahaja. Ini merupakan kelebihan yang amat besar kepada
orang yang sentisa mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjemaah di
masjid.
Keenam.
Orang yang sembahyang berjamaah di masjid Allah sediakan baginya
hidangan di syurga setiap kali dia pergi dan balik.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ
أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ
رَاحَ. (صحيح البخارى، الأذان)
Bermaksud: Sesiapa
yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya
hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.
Ketujuh.
Allah memberi jaminan
syurga kepada orang yang pergi sembahyang berjamaah di masjid.
ثَلاَثَةٌ كُلُّهُمْ ضَامِنٌ عَلَى
اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ رَجُلٌ خَرَجَ غَازِيًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ ضَامِنٌ
عَلَى اللَّهِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُ فَيُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ أَوْ يَرُدَّهُ بِمَا
نَالَ مِنْ أَجْرٍ وَغَنِيمَةٍ وَرَجُلٌ رَاحَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَهُوَ ضَامِنٌ
عَلَى اللَّهِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُ فَيُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ أَوْ يَرُدَّهُ بِمَا
نَالَ مِنْ أَجْرٍ وَغَنِيمَةٍ وَرَجُلٌ دَخَلَ بَيْتَهُ بِسَلاَمٍ فَهُوَ ضَامِنٌ
عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. (سنن أبى داود، الجهاد)
Bermaksud: Tiga golongan semuanya dijamin oleh Allah,
seorang yang keluar berperang pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah
mematikannya lalu dia masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala
dan harta rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga
Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah mengembalikannya
dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang masuk ke
rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.
Di antara apa yang
terkandung dalam hadith di atas ialah jaminan daripada Allah s.w.t bahawa orang
yang pergi ke masjid untuk sembahyang berjamaah dia dimasukkan ke dalam
syurga-Nya.
Kelapan.
Orang yang pergi ke masjid di waktu yang gelap dia
mendapat cahaya yang sepenuhnya pada Hari kiamat.
Sabdanya Rasulullah
s.a.w. :
لِيَبْشَرِ الْمَشَّاءُونَ فِى
الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِنُورٍ تَامٍّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (سنن ابن ماجه،
المساجد والجماعات)
Bermaksud: Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan
kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna
pada Hari Kiamat.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menerangkan kelebihan orang yang
berjalan kaki di waktu gelap menuju ke masjid. Mereka ini akan mendapat cahaya
yang amat terang pada hari Kiamat.
Kesembilan
Allah amat gembira
kepada orang yang bersedia hendak pergi ke masjid menunaikan sembahyang dan
zikir.
مَا تَوَطَّنَ رَجُلٌ مُسْلِمٌ
الْمَسَاجِدَ لِلصَّلاَةِ وَالذِّكْرِ إِلاَّ تَبَشْبَشَ اللَّهُ لَهُ كَمَا
يَتَبَشْبَشُ أَهْلُ الْغَائِبِ بِغَائِبِهِمْ إِذَا قَدِمَ عَلَيْهِمْ. (سنن ابن
ماجه، المساجد والجماعات)
Bermaksud: Seseorang
lelaki muslim yang bersedia ke masjid untuk bersembahyang dan berzikir, Allah
gembira kepadanya sebagaimana keluarga orang yang pergi, gembira apabila orang
yang pergi itu balik kepada mereka.
Hadis ini menunjukkan
bahawa Allah amat gembira kepada orang yang pergi ke masjid.
Kesepuluh.
Orang yang sembahyang
Subuh berjamaah seolah-olahnya dia sembahyang sunat seluruh malam dan orang
yang sembahyang Isyak berjamaah seolah-olahnya dia menghidupkan separuh malam.
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ
فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ
فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
صحيح مسلم)
Bermaksud: Sesiapa
yang sembahyang Isyak pada satu jamaah seolah-olahnya dia
sembahyang separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang Subuh pada
satu jamaah seolah-olahnya dia sembahyang seluruh malam.
Kesebelas.
Pergi masjid awal dan
mendapat saf pertama adalah mempunyai kelebihan yang amat besar.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِى
النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا
عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِى التَّهْجِيرِ لاَسْتَبَقُوا
إِلَيْهِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِى الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لأَتَوْهُمَا
وَلَوْ حَبْوًا. (صحيح البخارى، الأذان)
Bermaksud: Kalaulah manusia mengetahui apa yang terdapat
dalam seruan azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapatinya
kecuali dengan cara undian nescaya mereka akan melakukannya. Kalau manusia mengetahui
kelebihan pergi awal untuk menunaikan sembahyang nescaya mereka akan bersegera,
dan sekiranya manusia mengetahui apa yang ada pada sembahyang isyak dan subuh
berjemaah nescaya mereka akan menghadirinya walau dengan mengisut.
Di antara kandungan nas
di atas adalah menunjukkan kepada kelebihan yang ada pada azan, saf pertama dan
datang awal ke masjid.
Kedua belas
Jamaah sembahyang fardu
yang lebih ramai adalah yang lebih disukai Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
عَنْ أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ قَالَ صَلَّى
بِنَا رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَوْمًا الصُّبْحَ فَقَالَ
«أَشَاهِدٌ فُلاَنٌ». قَالُوا لاَ. قَالَ «أَشَاهِدٌ فُلاَنٌ». قَالُوا لاَ. قَالَ
«إِنَّ هَاتَيْنِ الصَّلاَتَيْنِ أَثْقَلُ الصَّلَوَاتِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ
وَلَوْ تَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأَتَيْتُمُوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا عَلَى
الرُّكَبِ وَإِنَّ الصَّفَّ الأَوَّلَ عَلَى مِثْلِ صَفِّ الْمَلاَئِكَةِ وَلَوْ
عَلِمْتُمْ مَا فَضِيلَتُهُ لاَبْتَدَرْتُمُوهُ وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ
الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ
أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ
تَعَالَى». (سنن أبى داود، الصلاة)
Bermaksud: Daripada Aubay bin Ka`b katanya: Pada suatu
hari Rasulullah s.a.w. bersembahyang Subuh bersama-sama kita, lalu sabdanya:
Adakah si pulan hadir? Para sahabat menjawab tidak. Tanya Baginda lagi, Adakah
si pulan hadir? Para sahabat menjawab tidak. Sabda Baginda: Bahawasanya dua
sembahyang ini adalah sembahyang yang paling berat ke atas orang munafikin.
Jikalau kamu mengetahui apa yang ada pada kedua-duaya nescaya kamu akan datang
menunaikan kedua-duanya walau dengan mengisut. Bahawasanya saf yang pertama
adalah menyerupai saf malaikat, dan jikalau kamu mengetahui apa kelebihannya
nescaya kamu bersegera kepadanya. Dan bahawasanya sembahyang seorang bersama
dengan seorang lain lebih baik dari sembahyangnya seorang diri, dan
bersembahyangnya bersama dengan dua orang lain lebih baik dari bersembahyang
dengan seorang lelaki, dan yang banyak maka lebih disukai oleh Allah s.w.t.
Di antara apa yang
disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith di atas ialah Allah lebih suka
kepada jamaah sembahyang yang lebih ramai.
Ketiga belas
Orang yang menunggu di tempat sembahyangnya bagi menunaikan sembahyang
berjamaah adalah dikira sebagai mengerjakan sembahyang.
Sabda Rasulullah
s.a.w.:
لاَ
يَزَالُ الْعَبْدُ فِى صَلاَةٍ مَا كَانَ فِى مُصَلاَّهُ يَنْتَظِرُ الصَّلاَةَ
وَتَقُولُ الْمَلاَئِكَةُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ. حَتَّى
يَنْصَرِفَ أَوْ يُحْدِثَ ». قُلْتُ مَا يُحْدِثُ قَالَ يَفْسُو أَوْ يَضْرِطُ.
(صحيح مسلم، المساجد )
Bermaksud: Seseorang
hamba Allah itu dikira dalam sembahyang selama dia berada di tempat
sembahyangnya kerana menunggu sembahyang, dan berkata Malaikat: “Ya Allah,
ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas”.
Hadith di atas
menunjukkan bahawa seseorang yang duduk di tempat sembahyangnya bagi menunggu
sembahyang fardhu dia dikira mengerjakan sembahyang, di samping para malaikat
berdoa untuknya.
Apabila telah
jelas bagi kita kelebihan sembahyang berjamaah yang begitu besar
maka janganlah kita lengah-lengah lagi dari menunaikan sembahyang berjamaah di
masjid atau di surau, iaitu tempat yang dibangunkan untuk beribadah kepada
Allah, dilaungkan azan bagi sembahyang fardu lima waktu dan
seterusnya didirikan sembahyang fardu lima waktu padanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan